• English
  • Bahasa Malaysia
dispute-resolution-banner

CHIEF EXECUTIVE OFFICER

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Ketua Pegawai Eksekutif

Sujatha Sekhar Naik dipinjamkan ke Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Mac 2013 untuk menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SIDREC.

Jawatan terakhir beliau ketika di SC adalah sebagai Timbalan Pengurus Besar dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan. Ketika itu, Sujatha dipertanggungjawabkan untuk mengurus aduan berkaitan salah laku pasaran, dan pembangunan dan pelaksanaan strategi pendidikan pelabur SC. Semasa di SC, beliau turut terlibat dalam tugasan khidmat nasihat dan initiatif pembaharuan di Pejabat Ketua Kaunsel dan Kumpulan Kewangan Korporat dan Pelaburan.

Sujatha sering kali mewakili SIDREC dan SC sebagai pembentang dan ahli panel di forum antarabangsa dan tempatan berhubung penyelesaian pertikaian, pendidikan pelabur dan pelbagai isu pasaran modal lain. Beliau juga menganggotai beberapa jawatankuasa antara agensi di Malaysia. Sujatha merupakan seorang ahli Lembaga Penasihat Forum Antarabangsa Pendidikan Pelabur (IFIE) dari 2010 hingga Julai 2015. Satu kumpulan utama yang dianggotai oleh Sujatha ketika ini ialah Kumpulan Kerja Mengenai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian & Penguatkuasaan di bawah Forum Pasaran Modal ASEAN yang bertujuan untuk mewujudkan piawaian amalan terbaik dan inisiatif pembinaan keupayaan di rantau ini bagi menyokong penyediaan saluran khusus untuk penyelesaian pertikaian bagi urus niaga rentas sempadan. Beliau baru-baru ini dilantik sebagai ahli Jawatankuasa International Network of Financial Services Ombudsman Schemes (INFO Network).

Sujatha berpengalaman sebagai pengamal dan penasihat dalaman undang-undang. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London dan menyertai Bar of England and Wales pada 1989 dan diberi kelayakan semula oleh Law Society of England and Wales sebagai Peguam Cara pada 1990. Sujatha menyertai Badan Peguam Malaysia pada 1998.

Sebagai seorang Pengantara Bertauliah, beliau juga merupakan ahli panel Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Malaysia (ahli Persatuan Pengantaraan Asia).