• English
  • Bahasa Malaysia

Articles

Securities Industry Dispute Resolution Center

SIDREC Komited Selesai Pertikaian

PUSAT Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (Sidrec) komited menjadi pusat sehenti menawarkan perkhidmatan percuma bagi penyelesaian tuntutan yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Ridzwan Abdul Kuddus berkata, Sidrec adalah di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjadi pengantara (orang tengah) dalam menyelesaikan pertikaian monetari antara pelabur dan syarikat pasaran modal yang berdaftar dengan SC iaitu seperti broker saham, broker niaga hadapan, syarikat pengurusan unit amanah serta pengurus dana.
Beliau berkata, Sidrec ditubuhkan pada Januari 2011 dan ramai yang tidak tahu mengenai peranan Sidrec sebagai badan korporat bebas yang menjadi alternatif kepada badan penyelesaian pertikaian sedia ada dan berbekalkan pengetahuan, kepakaran serta pengalaman, Sidrec mengendalikan tuntutan dengan cepat dan cekap.

“Paling penting perkhidmatan disediakan Sidrec adalah percuma dan ia terbuka bagi pelabur yang mempunyai tuntutan tidak melebihi RM100,000,” katanya kepada Bisnes Metro yang ditemui di Kuala Lumpur.
Menurutnya, fungsi utama Sidrec bagi menggalak, menyokong dan memudahkan penyelesaian yang memuaskan antara kedua-dua pihak berkenaan dan menerusi penubuhan Sidrec juga boleh menambahkan keyakinan pelabur untuk melabur.
Khairul berkata, Sidrec akan membantu menyelesaikan tuntutan pelabur selagi kes yang diputuskan atau masih dalam perbicaraan mahkamah ataupun sudah menerima surat tindakan.

Bagaimanapun, pelabur mesti memfailkan tuntutan dalam tempoh 180 hari selepas menerima keputusan muktamad daripada syarikat pasaran modal berkenaan.