• English
  • Bahasa Malaysia

Articles

SIDREC MR

SIDREC Perluas Bidang Kuasa, Boleh Kendali Tuntutan Melebihi RM250,000

SIARAN MEDIA
16 April 2018

SIDREC Perluas Bidang Kuasa, Boleh Kendali Tuntutan Melebihi RM250,000

Kuala Lumpur: Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) baru-baru ini telah memperluaskan bidang kuasanya, membolehkannya menawarkan perkhidmatannya kepada pelabur dan penyedia perkhidmatan pasaran modal yang mempunyai pertikaian melibatkan tuntutan melebihi RM250,000. Perkhidmatan baru ini, sebagai skim sukarela, memerlukan kedua belah pihak dalam pertikaian untuk bersetuju menggunakan perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) SIDREC. ADR merujuk kepada penyelesaian pertikaian di luar mahkamah.

Ini tidak sama dengan skim mandatori SIDREC, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan pasaran modal untuk mengambil bahagian dalam proses ADR SIDREC, jika pelabur mengemukakan tuntutan sebanyak RM250,000 dan kurang daripadanya kepada SIDREC. Skim mandatori tersebut tetap menjadi bahagian penting dalam perkhidmatan SIDREC dan akan kekal menjadi keutamaan kepada SIDREC dalam memastikan pelabur yang lebih kecil sentiasa mempunyai akses bagi mendapatkan ganti rugi.

Pengerusi SIDREC, Dato’ Ranita Mohd Hussein memaklumkan ketika Mesyuarat Agung Tahunan SIDREC ke-8 (AGM) hari ini bahawa perluasan bidang kuasa yang dilaksanakan pada 2017 merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh SIDREC agar kekal relevan dengan perkembangan pasaran dan keperluan pelabur.

AGM yang diadakan di bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini dihadiri oleh kira-kira 100 wakil korporat ahli-ahli SIDREC dan para pemerhati. SIDREC mempunyai 184 ahli yang terdiri daripada bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, institusi kewangan pembangunan khusus, pengurus dana, broker saham, broker derivatif, syarikat pengurusan unit amanah, dan penyedia dan pengedar Skim Persaraan Swasta.

Ranita menjelaskan, “Di bawah skim sukarela, kedua-dua pihak menuntut dan ahli mesti bersetuju untuk mendapatkan bantuan SIDREC; peguam dibenarkan untuk menyertai proses penyelesaian pertikaian, dan kedua-dua pihak dikenakan bayaran yang munasabah bagi perkhidmatan tersebut. Dengan kemasukan komponen ini, SIDREC semakin hampir dengan pencapaian matlamatnya untuk menjadi pusat sehenti bagi pertikaian berkaitan pasaran modal.

“Pada tahun yang akan datang, lebih banyak usaha akan dilaksanakan untuk memastikan wujudnya lebih kesedaran mengenai ketersediaan laluan sukarela ini.

“Ini merupakan permulaan biasa ke arah perbincangan yang berterusan antara SIDREC dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) berkenaan cadangan untuk menyediakan timbang tara pakar untuk pasaran modal dalam masa terdekat.”

“SIDREC juga telah membuat persiapan untuk menyediakan khidmat pengantaraan bagi kes-kes yang dirujuk oleh mahkamah dalam skim pengantaraan dirujuk oleh Mahkamah Kehakiman,” menurut Ranita dalam perutusannya dalam Laporan Tahunan SIDREC 2017.

Ranita berkata bidang kuasa SIDREC telah diperluaskan sepanjang dua tahun kebelakangan ini untuk mencerminkan jangkauan dan akses yang lebih bermakna. SIDREC telah ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada rangka kerja perlindungan pelaburnya. Ahli-ahli pertamanya ialah pemegang lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

“Keahlian SIDREC kini termasuk bank perdagangan dan bank Islam serta institusi kewangan pembangunan khusus. Memandangkan hakikat bahawa keluasan rangkaian pengedaran bagi produk pasaran modal merangkumi pemegang-pemegang Lesen Pasaran Modal dan Perkhidmatan untuk meliputi bank-bank perdagangan dan bank-bank Islam, peluasan bidang kuasa tersebut bermakna para pelabur dalam produk pasaran modal boleh mendapatkan perkhidmatan SIDREC tanpa mengira titik urus niaga atau jualan berlaku.

“Berdasarkan statistik kami pada 2017, 22% daripada tuntutan yang layak yang didaftarkan di SIDREC adalah berkaitan dengan urus niaga bersama bank komersial dan Islam, serta institusi kewangan pembangunan khusus. Kami akan terus bekerjasama dengan pengawal selia bagi memastikan usaha kami kekal relevan dengan perkembangan dalam pasaran dan rangka kerja pengawalseliaan.

SIDREC melaporkan menerima sejumlah 628 tuntutan dan pertanyaan pada 2017, yang terdiri daripada 72 pertikaian yang memenuhi syarat, 75 pertikaian yang tidak memenuhi syarat dan 481 pertanyaan. Tatalaku pasaran terus menjadi isu utama pada 2017 (seperti pada tahun 2016), yang membentuk 61.1% (44 daripada 72 pertikaian yang memenuhi syarat) daripada jumlah pertikaian yang memenuhi syarat telah diterima pada 2017. Daripada jumlah pertikaian yang dikendalikan pada tahun 2017, 91.2% telah diselesaikan melalui pengurusan kes atau pengantaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIDREC, Sujatha Sekhar Naik berkata SIDREC juga mempunyai peranan dalam menyumbang kepada disiplin pasaran dan meningkatkan standard keseluruhan dalam pasaran modal.

 

Latar Belakang

Tiga jenis tuntutan yang diterima oleh SIDREC, serta contoh isu-isu tertentu bagi setiap kategori adalah:

Tatalaku Pasaran (44 kes atau 61.1% daripada pertikaian yang memenuhi syarat) termasuk
• Penipuan / penyalahgunaan / penggelapan wang
• Amalan jualan (termasuk salah jualan, nasihat yang salah,
kesesuaian produk, penzahiran yang tidak mencukupi)
• Urus niaga yang tidak dibenarkan / tidak mematuhi arahan

Standard perkhidmatan (23 kes atau 31.9% daripada pertikaian yang memenuhi syarat)
• Kelewatan / kesilapan / gangguan sistem dalam talian
• Kelewatan / kesilapan / kelewatan dalam penzahiran
• Kelewetan lain / kesilapan dalam proses

Amalan/Polisi Ahli (5 kes atau 6.9% daripada pertikaian yang memenuhi syarat)
• Yuran dan caj
• Dasar penzahiran
• Pembangunan produk dan dasar jualan

 

“Pihak-pihak yang terbabit sentiasa berpuas hati setelah berurusan dengan kefahaman tentang apa yang menyebabkan pertikaian dan langkah-langkah yang mungkin sepatutnya diambil untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang. Dengan cara yang sedemikian, badan-badan penyelesaian pertikaian boleh bertindak sebagai ‘pemberi peringatan’ yang berkesan ke arah tingkah laku dan tabiat yang lebih baik atau lebih bertanggungjawab dan beretika. Ini menyokong pengurusan risiko dan usaha ahli-ahli untuk memupuk swadisiplin dan amalan etika, di kedua-dua belah pihak ahli dan pihak pelabur yang menuntut.”

Laporan tahunan SIDREC menyatakan bahawa penerimaan wang tunai untuk urus niaga merupakan isu yang berterusan pada tahun 2017. Walaupun peringatan telah diberikan kepada pelabur melalui prospektus, borang permohonan, dan penyata, agar tidak membayar tunai kepada ejen, ramai pelabur masih memberi wang tunai kepada ejen pengantara pasaran. Oleh itu, masih wujud keperluan untuk menumpukan usaha memberi kesedaran oleh ahli dan semua pemegang kepentingan untuk mendidik masyarakat awam.

Daripada 44 pertikaian berkaitan isu-isu tatalaku pasaran pada 2017, 12 adalah membabitkan amalan jualan (cth. salah jualan, nasihat yang salah, kesesuaian produk, penzahiran yang tidak mencukupi).

Amalan jualan terus menjadi isu yang berterusan, walaupun bilangannya telah menurun daripada 18 pertikaian pada 2016 hingga 12 pertikaian pada tahun 2017. Pengedar produk memainkan peranan penting dalam memastikan terdapat dasar dan proses yang berkaitan yang menunjukkan jualan beretika dan amalan penzahiran.

Laporan itu menyatakan: “Kami perhatikan bahawa pengedar produk boleh menambah baik amalan mereka dengan memastikan wakil atau ejen mereka meningkatkan usaha untuk menjelaskan lagi ciri-ciri produk kepada pelanggan mereka, memandangkan produk pelaburan kini adalah semakin kompleks. Penjelasan tidak semestinya memberi tumpuan kepada potensi pulangan pelaburan, tetapi juga termasuk penjelasan tentang risiko pelaburan tersebut, serta semua yuran dan caj yang terbabit.”

Bilangan pertikaian yang berkaitan dengan standard perkhidmatan telah meningkat paling banyak berbanding pertikaian lain, daripada 14 pada 2016 kepada 23 pada tahun 2017.

“Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan bilangan pertikaian yang berkaitan dengan kelewatan, kesilapan atau gangguan sistem dalam talian. Berkemungkinan sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan penggunaan platform dagangan dalam talian yang disediakan oleh ahli-ahli,” menurut laporan tersebut. Laporan penuh (.pdf) boleh didapati di sini.

Klik di sini untuk muat turun siaran media ini.

Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.

Mengenai SIDREC
SIDREC ialah badan penyelesaian pertikaian alternatif yang bebas untuk pasaran modal. Ia ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada rangka kerja perlindungan pelaburnya. SIDREC bermatlamat untuk membantu para pelabur dan penyedia produk and perkhidmatan pasaran modal menyelesaikan pertikaian kewangan yang tidak dapat mereka selesaikan sendiri, dengan menyediakan jalan penyelesaian pertikaian yang berkepakaran, bebas dan saksama melalui pengantaraan dan adjudikasi. Perkhidmatannya adalah percuma bagi para pelabur bagi tuntutan sehingga RM250,000. Untuk maklumat lanjut: sidrec.com.my

Artikel berkaitan: