• English
  • Bahasa Malaysia
dispute-resolution-banner

PANEL OF MEDIATORS & ADJUDICATORS

PANEL PENGANTARA & ADJUDIKATOR

Panel Pengantara & Adjudikator

Aishara Abdul Rahim

Aishara Abdul Rahim mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam pasaran modal. Beliau menyertai SIDREC sebagai pengurus kanan kes yang mengendalikan aduan yang melibatkan pelbagai produk dan perkhidmatan pasaran modal. Pendedahan dan pengalaman dalam pasaran modal telah membolehkan beliau membantu pihak yang terlibat menyelesaikan pertikaian mereka di peringkat pengurusan kes. Ketika di SIDREC, beliau juga terlibat dalam inisiatif pembinaan kapasiti bagi tujuan meningkatkan keupayaan pakar penyelesaian pertikaian khususnya bagi pertikaian yang melibatkan produk and perkhidmatan pasaran modal serta inisiatif SIDREC untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pihak awam mengenai perkhidmatan yang diberikan oleh SIDREC.

Sebelum menyertai SIDREC, Aishara merupakan ketua audit dalaman bagi sebuah bank pelaburan tempatan. Sebelum itu, Aishara berkhidmat selama lebih enam tahun di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menimba pengalaman berharga sebagai penganalisa di unit pengawasan kewangan dan korporat. Aishara memulakan kerjayanya pada tahun 1994 di Arthur Andersen Malaysia. Beliau merupakan pengantara berkelayakan yang ditauliahkan oleh Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Malaysia. Aishara juga merupakan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan pengkhususan dalam bidang Perakaunan daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat pada tahun 1994.

Christopher Leong Sau Foo

Christopher Leong telah berkhidmat sebagai seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya selama lebih 26 tahun. Beliau ialah Rakan Urusan Chooi & Company. Christopher mempunyai pengalaman yang luas dalam litigasi undang-undang berkaitan korporat dan komersial, pertikaian pemegang saham, perbankan dan insolvensi. Beliau juga memberi perkhidmatan dalam bidang undang-undang perlembagaan dan pentadbiran serta litigasi berkaitan dengan kepentingan awam. Beliau juga bertindak sebagai kaunsel dalam proses timbang tara tempatan dan antarabangsa, di Malaysia dan di luar negara. Christopher juga adalah seorang penimbangtara di Pusat Serantau Timbang Tara Kuala Lumpur (KLRCA).

Christopher pernah menjawat jawatan Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Pengerusi Majlis Peguam Malaysia dari 2013 hingga 2015. Kini, Christopher merupakan Presiden LAWASIA iaitu Persatuan Undang-undang bagi Asia dan Pasifik. Beliau turut menganggotai lembaga pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah yayasan kumpulan pemikir di Malaysia.

Christopher berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan dalam bidang ekonomi dan falsafah pada tahun 1984 dari Universiti Monash dan menamatkan pengajian undang-undang di University of Nottingham pada tahun 1988. Beliau telah menyertai Majlis Peguam England dan Wales pada tahun 1989 dan Badan Peguam Malaysia pada tahun 1990.

Ganesan Nethi

Ganesan ialah seorang litigator komersial, dan rakan kongsi di Tetuan Tommy Thomas. Amalan perundangan beliau merangkumi pelbagai pertikaian komersial dan korporat, termasuklah litigasi berkenaan hal ehwal sekuriti di mana beliau sering bertindak sebagai peguam untuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam prosiding penguatkuasaan sivil yang timbul akibat kesalahan undang-undang pasaran modal, termasuklah dagangan orang dalam, manipulasi pasaran, skim pelaburan yang tertujuan menipu. Ganesan juga pernah mewakili Danaharta, dan institusi kewangan tempatan besar yang lain dalam pertikaian bon.

Ganesan mempunyai ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Cardiff University, dan Sarjana Undang-Undang (Cemerlang) daripada Georgetown University, University, Washington DC pada tahun 2015. Beliau ialah salah satu daripada beberapa peguam Malaysia yang layak untuk praktis di New York dan England, dua pasaran modal yang tercemerlang di dunia. Ganesan ialah seorang Pengantara untuk Pusat Pengantaraan Malaysia, dan juga penasihat undang-undang untuk tribunal tatatertib Financial Markets Association of Malaysia yang menyiasat dan mendengar aduan terhadap broker forex dan wakil mereka, berkenaan kesalahan tatalaku di pasaran kewangan.

Hong Siew Lai

Hong Siew Lai ialah Ketua Penyelesaian Pertikaian SIDREC. Beliau menyertai SIDREC pada 2011 sebagai pengantara dan adjudikator sepenuh masa dan juga bertanggungjawab mengawasi pengurusan kes tuntutan yang difailkan dengan SIDREC.

Siew Lai mempunyai tujuh tahun pengalaman dalam pasaran modal sebelum menyertai SIDREC, dan telah menyandang jawatan Penolong Naib Presiden, Hal Ehwal Korporat, Perundangan & Pematuhan, dan Pegawai Pematuhan berdaftar di sebuah bank pelaburan di Malaysia. Sebelum itu, dari 1998 hingga 2004, Siew Lai berkhidmat sebagai seorang Peguam Bela dan Peguam Cara; bidang kerjanya termasuklah menjalankan tindakan undang-undang sivil, serta mengendalikan hal-hal berkaitan korporat/komersial dan pemindahan hak.

Pengalaman Siew Lai dalam bidang perundangan dan pasaran modal memberikan beliau kelebihan sebagai seorang pengantara, dan sebagai seorang adjudikator dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu-isu pasaran modal serta untuk memberi panduan yang mantap kepada pelanggan dan Ahli SIDREC melalui proses penyelesaian pertikaian.

Siew Lai ialah Pengantara bertauliah di panel Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Malaysia (ahli Persatuan Pengantaraan Asia). Beliau juga seorang Ahli Institut Penimbang Tara Bertauliah yang memperolehi Diploma International Commercial Arbitration daripada Institut Penimbang Tara Bertauliah. Dengan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari University of East London, Siew Lai telah diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 1998.

Dato' Lim Chee Wee

Dato’ Lim Chee Wee ialah seorang rakan kongsi SKRINE sejak 2001 dan juga mantan Presiden Badan Peguam Malaysia (2011-2013). Beliau juga adalah Ahli Institut Penimbang Tara Bertauliah.

Beliau mempunyai amalan komersial yang luas, hasil daripada pengalaman yang beliau perolehi dengan menangani pertikaian komersial dan korporat, dan litigasi yang termasuk juga timbang tara antarabangsa di Asia dan Eropah. Tumpuan kerjaya beliau ialah sebagai peguam di semua peringkat Mahkamah Malaysia sambil mengkhusus dalam tindakan undang-undang korporat.

Chee Wee juga seorang pakar dalam amalan undang-undang awam dan pentadbiran, dan kerap memberi nasihat dan bertindak sebagai peguam kepada bursa saham Malaysia, yakni Bursa Malaysia, dalam hal-hal yang melibatkan peraturan dan perundangan, dan juga dalam pelaksanaan penguatkuasaan oleh Bursa Malaysia.

Chee Wee adalah lulusan University of New South Wales dengan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan). Beliau menyertai Badan Peguam Malaysia sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara pada 1993 dan mula berkhidmat di SKRINE sehingga kini.

Lynette Yeow Su-Yin

Lynette Yeow ialah seorang rakan kongsi di Chua Associates, sebuah firma yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang korporat dan komersial. Lynette bergiat dalam amalan perundangan melalui kerjayanya di firma-firma guaman di Malaysia sejak 1995, termasuklah sebagai seorang rakan kongsi di Zaid Ibrahim & Co dan Kadir Andri & Partners.

Lynette tersohor dengan kepakaran beliau dalam khidmat nasihat korporat dan komersial, dengan tumpuan khas dalam perihal penggabungan dan pengambilalihan (M&A), kewangan korporat dan perundangan sekuriti. Beliau juga mempunyai pengalaman dalam penubuhan dana (termasuk REIT dan dana ekuiti swasta).

Lynette menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari University of Cambridge pada 1992 dan menyertai Badan Peguam Malaysia pada Disember 1994. Beliau juga telah dianugerahkan ijazah Sarjana Sastera oleh University of Cambridge. Sebagai seorang Pengantara bertauliah, Lynette juga merupakan ahli panel Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Malaysia (ahli Persatuan Pengantaraan Asia).

Beliau ialah seorang ahli lembaga pengarah Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd dan Malaysia Building Society Berhad.

Nahendran Navaratnam

Nahendran Navaratnam ialah seorang rakan kongsi utama Navaratnam Chambers. Beliau berpengalaman mengendalikan pengadilan dan rayuan dalam pertikaian besar yang melibatkan undang-undang korporat, komersial dan pentadbiran bagi syarikat persendirian dan syarikat awam tersenarai, institusi kewangan Malaysia dan antarabangsa, syarikat multinasional dan amalan profesional. Beliau juga mengendalikan kes-kes liabiliti profesional, pencukaian dan sekuriti, serta pertikaian timbang tara komersial.

Nahendran ialah seorang Penimbang Tara Bertauliah dan Felo Institut Penimbang Tara Bertauliah, dan juga ahli Inter-Pacific Bar Association, Commonwealth Lawyers Association dan the Australasian Forum for International Arbitration. Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Timbang Tara, Dewan Perniagaan Antarabangsa, dan Felo Institut Penimbang Tara Malaysia. Beliau juga merupakan seorang pengantara dan adjudikator terlatih.

Nahendran adalah seorang graduan Monash University, Australia, dab memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Bahan) dan Sarjana Muda Undang-Undang. Beliau menyertai Badan Peguam Malaysia pada 1998.

Shanti Abraham Mathew

Shanti Abraham Mathew ialah seorang pengamal undang-undang yang berpengalaman luas dalam hal-hal korporat dan penyelesaian pertikaian. Beliau mempunyai firmanya sendiri iaitu Tetuan Shanti Abraham & Associates.

Beliau mengendalikan perbicaraan dan rayuan bagi pertikaian besar yang membabitkan undang-undang korporat, komersial dan perbankan bagi syarikat persendirian dan syarikat awam tersenarai, serta pelbagai hal berkenaan kewangan korporat termasuklah penyenaraian, penstrukturan semula dan pengambilalihan serta penyelesaian isu-isu antara pelabur dan syarikat dagangan sekuriti, termasuk tuntutan ke atas dana pampasan. Beliau juga berpengalaman luas dalam penyelesaian pertikaian korporat dalam hal-hal berkaitan penjagaan kesihatan (termasuk pengurusan risiko dan pertikaian berkaitan perubatan dan perundangan).

Shanti ialah seorang Pengantara yang ditauliahkan oleh Pusat Pengantaraan Malaysia dan Pengantara Bersekutu Pusat Pengantaraan Singapura. Beliau juga seorang jurulatih di Pusat Pengantaraan Singapura bagi program pensijilan untuk pengantara sejak 2013. Sebagai seorang Pengantara Penjagaan Kesihatan, Shanti juga menduduki panel pakar Pusat Pengantaraan Singapura (dalam usaha sama bersama Kementerian Kesihatan, Singapura). Beliau pernah melatih Badan Kehakiman Brunei dalam kemahiran pengantaraan.

Shanti menerima anugerah ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari National University of Singapore pada 1994 dan menjalani Program Rundingan di Harvard Negotiation Institute (Harvard Law School) pada 2014. Beliau juga memiliki Diploma International Arbitration dan merupakan seorang Felo Institut Penimbang Tara Berkanun (FCIArb). Beliau telah menyertai kedua-dua Badan Peguam Singapura (1995) dan Malaysia (1999).

Sujatha Sekhar Naik

Sujatha Sekhar Naik ialah Ketua Pegawai Eksekutif SIDREC. Beliau telah dipinjamkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sejak Mac 2013 bagi menyandang jawatan tersebut. Sebelum menyertai SIDREC, beliau bertanggungjawab ke atas pembangunan dan pelaksanaan strategi pendidikan pelabur dan pengurusan aduan yang berkaitan dengan salah laku pasaran. Tanggungjawab beliau di SC termasuklah memberi khidmat nasihat dan initiatif pembaharuan di Pejabat Ketua Kaunsel dan Kumpulan Kewangan Korporat dan Pelaburan.

Berbekalkan 15 tahun pengalaman dalam kerjanya yang berkaitan pasaran modal dan khususnya dalam menerajui Jabatan Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan SC, beliau membawa bersamanya ke tugasan baru sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Panel Pengantara dan Adjudikator SIDREC, pemahaman yang mendalam dan praktikal mengenai rangka kerja pengawalseliaan dan pasaran modal, serta pemahaman tentang cabaran yang dihadapi oleh para pelabur, di samping mempunyai pengalaman dalam penyelesaian pertikaian yang merupakan komponen pengurusan aduan pelabur.

Sebelum menyertai SC pada 2001, Sujatha meraih pengalaman dalam amalan perundangan dan sebagai penasihat undang-undang. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London dan menyertai Bar of England and Wales pada 1989, dan menerima kelayakan semula daripada Persatuan Undang-Undang England and Wales sebagai Peguam Cara pada 1990. Sujatha menyertai Badan Peguam Malaysia pada 1998 dan ialah seorang Pengantara bertauliah dan ahli Pusat Pengantaraan Majlis Peguam Malaysia (ahli Persatuan Pengantaraan Asia).

Wong Lu Peen

Wong Lu Peen adalah Rakan Kongsi Kanan Wong Lu Peen & Tunku Alina. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Reading pada tahun 1978 dan telah menyertai Majlis Peguam Inggeris pada tahun 1979 dan Badan Peguam Malaysia pada tahun 1983. Beliau juga telah menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Malaya pada tahun 2014.

Lu Peen memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang di Mahkamah Majistret di England, sebagai seorang kerani mahkamah di Uxbridge, Middlesex sebelum kembali ke Malaysia. Di Malaysia, Lu Peen berkhidmat sebagai peguam pindah hak milik am sebelum beralih kepada kontrak komersial. Portfolio beliau termasuk pengambilalihan dan pelaburan oleh pihak asing di dalam dan juga di luar Malaysia. Kini Lu Peen merupakan pengerusi jawatankuasa tatatertib bagi prosiding tatatertib yang dilaksanakan oleh Lembaga Disiplin Majlis Peguam.

Beliau juga ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Timbangtara dan Penyelesaian Alternatif Pertikaian Majlis Peguam dan Pusat Pengantaraan Malaysia (MMC). Dia adalah seorang pengantara berkelayakan yang berdaftar dengan MMC. Beliau juga menerima latihan di Pusat Pengantaraan Singapura dan didaftarkan sebagai pengantara bertauliah bersekutu dan kadang kala membantu untuk melatih pengantara di Singapura. Beliau juga telah dilantik sebagai ahli panel penasihat Pusat Penyelesaian Pertikaian Australia di Sydney. Beliau telah melatih hakim, peguam dan para profesional lain dalam bidang pengantaraan. Beliau juga telah dijemput untuk menilai pelajar untuk kredit pengantaraan mereka di Universiti Malaya.