• English
  • Bahasa Malaysia
about-us-banner

FREQUENTLY ASKED QUESTIONS (FAQS)

SOALAN-SOALAN LAZIM

Soalan-soalan Lazim

Kemukakan Aduan kepada SIDREC

Bagaimanakah boleh saya mengemukakan aduan atau memfailkan tuntutan kepada SIDREC?

Anda boleh menelefon, e-mel atau menulis surat kepada kami. Anda juga boleh mengemukakan sebarang pertanyaan melalui laman web SIDREC atau hadir ke pejabat kami.

Apakah jenis-jenis aduan yang dikendalikan oleh SIDREC?

Jika aduan tersebut ditujukan kepada ahli-ahli SIDREC dan melibatkan produk atau khidmat pasaran modal yang disediakan oleh ahli-ahli SIDREC, wakil atau ejen mereka kepada para pelabur, SIDREC mungkin akan dapat membantu anda.

Produk-produk pasaran modal yang dikendalikan oleh SIDREC termasuk sekuriti (contohnya saham, unit amanah, waranti, bon runcit, produk-produk yang berstruktur contohnya waranti yang berstruktur dan sebagainya), derivatif (contohnya “futures” atau pilihan) dan Skim Persaraan Swasta (PRS).

Khidmat pasaran modal merangkumi mana-mana perkhidmatan yang melibatkan produk pasaran modal. Contohnya, sebarang aspek yang membantu pelabur untuk melabur dalam bentuk saham, unit amanah atau pun mana-mana sekuriti, derivatif atau Skim Persaraan Swasta atau yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pengurusan dana.

Sila hubungi SIDREC jika anda kurang pasti sama ada tuntutan/aduan anda termasuk di bawah bidang kuasa SIDREC atau tidak.

Apakah jenis aduan/pertikaian yang tidak boleh dikendalikan SIDREC?

Terdapat beberapa kategori aduan/pertikaian daripada pelabur yang tidak berada dibawah bidang kuasa SIDREC. Antaranya termasuk pertikaian yang:

  • melibatkan Ahli di mana perintah penggulungan telah dikeluarkan, atau di mana Ahli telah diisytiharkan tidak solven oleh mahkamah, atau menjadi subjek pengisytiharan berkaitan dengan pengingkaran selaras dengan Peraturan-peraturan Capital Market Compensation Fund Corporation;
  • timbul daripada keputusan komersial, contohnya, penetapan harga produk, yuran & caj atau penolakan permohonan yang dibuat oleh Ahli SIDREC;
  • melibatkan prestasi produk atau pelaburan (kecuali yang berhubung dengan dakwaan bahawa Ahli SIDREC tidak membuat pendedahan yang wajar/representasi yang salah oleh Ahli tentang produk atau pelaburan);
  • telah dirujuk oleh Pihak Menuntut atau Ahli kepada Mahkamah atau Pengadil dan dalam kes tersebut:-
  • (i) pertikaian telah diputuskan di mahkamah atau timbang tara; atau
    (ii) tertangguh di mahkamah atau timbang tara kecuali jika perkara tersebut ditangguhkan bagi tujuan untuk merujuk pertikaian tersebut kepada SIDREC;
  • melibatkan perkara yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau badan penguatkuasa kerajaan di mana SC telah mengeluarkan arahan di bawah peraturan-peraturan kepada SIDREC supaya tidak menjalankan proses penyelesaian pertikaian tersebut; dan
  • telah disekat akibat had masa sebagaimana yang tertakluk dalam Akta Had Masa 1953, Ordinan Had Masa (Sabah) (Bab 72) dan Ordinan Had Masa (Sarawak) (Bab 49) ketika pertikaian tersebut dirujuk kepada SIDREC untuk penyelesaian.

Sila hubungi SIDREC untuk penerangan lebih lanjut.

Siapakah Ahli SIDREC?

Ahli SIDREC merangkumi syarikat yang dilesenkan atau didaftar oleh SC untuk memberi perkhidmatan dalam sekuriti, derivatif, Skim Persaraan Swasta (PRS), dan/atau mengendalikan pengurusan dana.

Mereka termasuklah bank, syarikat broker saham, syarikat derivatif, syarikat pengurusan unit amanah, syarikat pengurusan dana, penyedia dan pengedar PRS.

Sila rujuk laman web kami untuk senarai penuh Ahli.

Perlukah saya membuat sebarang pembayaran untuk mendapatkan khidmat daripada SIDREC?

  1. Skim Wajib (Bahagian A Terma-Terma Rujukan SIDREC)
  • Untuk tuntutan tidak melebihi RM250,000.00, di mana penyertaan Ahli SIDREC adalah diwajibkan, perkhidmatan SIDREC adalah percuma untuk pelabur;
  • Walaupun jumlah tuntutan boleh melebihi had maksima, penuntut harus mengesahkan bahawa mereka bersetuju untuk menghadkan tuntutan mereka kepada RM250,000.00 supaya mereka boleh mengguna perkhidmatan percuma SIDREC.
  1. Skim Sukarela (Bahagian B & C Terma-Terma Rujukan SIDREC)
  • Untuk tuntutan melebihi RM250,000.00 dan untuk rujukan makhamah bagi tujuan mediasi;(i) Penyertaan adalah secara sukarela oleh kedua-dua Pihak Penuntut dan Ahli SIDREC;(ii) Tiada had jumlah tuntutan; dan(iii) Bayaran perlu dibayar oleh kedua-dua Ahli SIDREC dan Pihak Penuntut seperti berikut:

(a) Untuk pengurusan kes – RM500.00 untuk satu tuntutan;

(b) Untuk Mediasi – RM2,000.00 sehari; dan di dalam mediasi, bagi SIDREC, ia boleh mengambil masa lebih daripada 1 (satu) hari, pihak tersebut akan membayar acara mediasi bagi mana-mana sesi sebelum mediasi bermula; dan

(c) Untuk adjudikasi (jika pengantaraan tidak berjaya dan tuntutan dilanjutkan ke tahap adjudikasi) – RM5,000.00 untuk satu tuntutan.

Adakah terdapat had kepada jumlah yang boleh saya tuntut melalui SIDREC?

1. Skim Wajib (Bahagian A Terma-Terma Rujukan SIDREC)

Had maksimum tuntutan di bawah skim wajib adalah RM250,000.00 (tidak termasuk mana-mana faedah berpatutan). Namun begitu, jika tuntutan anda melebihi jumlah ini dan anda sudi menghadkan tuntutan anda kepada RM250,000.00 (tidak termasuk faedah berpatutan), anda masih boleh mengemukakan tuntutan anda di bawah skim wajib.

2. Skim Sukarela (Bahagian B & C Terma-Terma Rujukan SIDREC)

  • Tuntutan melebih RM250,000.00 dan Pengantaraan yang di rujuk oleh mahkamah

Tidak ada had tuntutan untuk skim sukarela ini. Di bawah skim sukarela, kedua-dua pihak mesti bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan pakar SIDREC.

  • Pengantaraan yang dirujuk oleh mahkamah: (Bahagian C Terma-Terma Rujukan SIDREC)

Tiada had maksimum bagi pengantaraan yang dirujuk oleh mahkamah.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyelesaikan suatu tuntutan?

SIDREC bertekad untuk menyelesaikan semua tuntutan dalam tempoh masa 90 hari bekerja dari tarikh penerimaan semua dokumen yang berkaitan dari kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, tempoh masa ini boleh dilanjutkan di atas budi bicara SIDREC, bergantung kepada kerumitan pertikaian tersebut, tahap kerjasama yang diberikan oleh pihak-pihak yang terlibat, sebarang halangan logistik dan sebagainya.

Bagaimana jika saya merupakan seorang warga asing atau menetap di luar Malaysia. Bolehkah saya mendapatkan bantuan daripada SIDREC?

Ya, anda boleh mendapatkan bantuan SIDREC selagi mana aduan atau tuntutan anda berkait dengan produk atau khidmat pasaran yang ditawarkan oleh Ahli SIDREC.

Adakah terdapat had masa untuk mengemukakan aduan kepada SIDREC?

Secara umumnya, terdapat dua jenis had masa yang anda harus patuhi bagi memastikan anda tidak dihalang daripada menghantar tuntutan anda kepada SIDREC:-

  1. Anda mesti menghantar tuntutan anda dalam tempoh 6 tahun sebagaimana yang ditetapkan dalam Akta Had Masa 1953, Ordinan Had Masa (Sabah) (Bab 72) dan Ordinan Had Masa (Sarawak) (Bab 49) untuk tuntutan sivil; dan
  2. Terma Rujukan (TOR) SIDREC menyatakan yang anda mempunyai 180 hari dari tarikh maklum balas terakhir berkenaan aduan anda daripada Ahli SIDREC untuk mengemukakan tuntutan anda kepada SIDREC.

Sila hubungi SIDREC jika anda kurang pasti sama ada tuntutan anda boleh diterima SIDREC atau tidak.

Sebelum Datang ke SIDREC

Saya ada aduan terhadap Ahli SIDREC. Apakah yang perlu saya buat?

Anda perlu membuat aduan rasmi terlebih dahulu kepada Ahli SIDREC berkenaan dengan menyatakan perkara yang hendak diadukan dan jumlah tuntutan anda.

Sebarang pertikaian biasanya boleh diselesaikan oleh Ahli sekiranya mereka dimaklumkan tentang masalah yang timbul. Namun, jika anda tidak berpuashati dengan penyelesaian yang diberikan bagi aduan anda, anda boleh memfailkan tuntutan anda dengan SIDREC.

Saya belum mengadu kepada Ahli SIDREC. Bolehkah saya mengadu kepada SIDREC?

Tidak, SIDREC hanya boleh bertindak ke atas aduan yang sejak dari mulanya telah difailkan dengan Ahli.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya Ahli SIDREC tidak memberi maklum balas kepada aduan saya selepas saya membuat aduan kepada mereka?

Jika anda tidak menerima sebarang maklum balas 90 hari selepas aduan anda difailkan, anda boleh datang ke SIDREC untuk mendapatkan bantuan.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima daripada Ahli SIDREC?

Jika anda tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, anda boleh datang ke SIDREC dalam masa tempoh 180 hari daripada tarikh anda terima jawapan terakhir dari Ahli SIDREC.

Perlukah saya mempunyai dokumen yang lengkap sebelum datang ke SIDREC?

Mempunyai dokumen yang lengkap akan memudahkan pemprosesan kes anda. Namun begitu, anda boleh juga mengemukakan dokumen sokongan kepada SIDREC kemudian. Anda diingatkan bahawa proses SIDREC bermaksud untuk menyelesaikan aduan anda dengan pantas. Jadi, anda dinasihatkan supaya mengemukakan apa-apa dokumen yang menyokong tuntutan anda apabila diminta oleh SIDREC secepat mungkin.

Adakah saya memerlukan khidmat seorang peguam untuk membantu saya membuat aduan kepada SIDREC?

Tidak, anda tidak memerlukan khidmat peguam untuk memfailkan aduan dengan SIDREC atau untuk mana-mana bahagian proses penyelesaian pertikaian SIDREC. Pengurus Kes kami akan membantu anda dalam seluruh proses. Perantara dan Pengadil juga akan memudahkan proses tersebut secara adil. Mana-mana pihak boleh mendapatkan nasihat peguam di luar proses SIDREC, namun, penglibatan peguam dalam proses penyelesaian pertikaian SIDREC adalah dihadkan seperti berikut:

  1. Skim Wajib (Bahagian A Terma-Terma Rujukan SIDREC)
  • Kedua-dua pihak tidak dibenarkan untuk membawa peguam atau diwakili oleh peguam dalam proses penyelesaian pertikaian SIDREC;
  • Ini adalah kerana kebanyakan Penuntut di bawah kategori ini tidak mampu mendapatkan khidmat peguam. Oleh itu, SIDREC memberi pelabur bantuan pakar yang percuma untuk menyelesaikan pertikaian mereka.
  • Namun, SIDREC tidak boleh memberi nasihat undang-undang dan kami memahami sekiranya anda rasa anda memerlukan peguam. Kedua-dua pihak bebas untuk mendapatkan nasihat peguam sebagai persediaan atau untuk menyokong anda. Namun begitu, peguam anda tidak boleh melibatkan diri mereka dalam proses penyelesaian pertikaian SIDREC.
  1. Skim Sukarela (Bahagian B & C Terma-Terma Rujukan SIDREC)Tuntutan melebih RM250,000 (Bahagian B Terma-Terma Rujukan SIDREC) dan Pengantaraan yang dirujuk oleh mahkamah (Bahagian C Terma-Terma Rujukan SIDREC)Bagi tuntutan melebihi RM250,000.00, jika penuntut telah memohon kepada SIDREC untuk ditemani peguam, Ahli SIDREC juga boleh membawa peguam mereka untuk hadir ke mesyuarat atau pendengaran tersebut.Untuk Pengantaraan yang dirujuk oleh mahkamah, peguam bagi kedua-dua pihak dibenarkan mengambil bahagian di dalam proses penyelesaian pertikaian.Sebarang pihak yang dibenarkan oleh SIDREC untuk hadir ke dalam mesyuarat atau pendengaran haruslah mematuhi Terma-Terma Rujukan SIDREC dan semangat proses penyelesaian pertikaian SIDREC.Jika Pengantara atau Pengadil berpendapat bahawa individu yang dibenarkan untuk menghadiri proses penyelesaian pertikaian SIDREC itu telah menjadi halangan dalam proses tersebut, Pengantara atau Pengadil boleh meminta pihak tersebut keluar daripada mesyuarat atau pendengaran tersebut.
Proses Kami – Am

Apa yang akan berlaku apabila saya menghantar aduan kepada SIDREC?

Selepas anda menghantar aduan anda, SIDREC akan menilai kelayakan tuntutan atau aduan tersebut, diikuti dengan penilaian berdasarkan merit. Semasa proses penilaian, SIDREC mungkin akan menolak tuntutan/aduan anda mengikut Terma Rujukan (TOR) kami. Selain itu, sekiranya tuntutan anda didapati tidak berasas atau tuntutan anda adalah main-main atau bertujuan untuk menyusahkan sahaja, SIDREC boleh menolak aduan/tuntutan anda. Tambahan pula, SIDREC juga boleh menolak pertikaian di mana–mana peringkat di dalam proses penyelesaian pertikaian.

Sekiranya tuntutan anda melepasi penilaian kelayakan awal, tuntutan anda akan terus ke Pengantaraan, di mana Pengantara kami akan cuba untuk membantu pihak-pihak terlibat untuk mencapai penyelesaian bagi pertikaian tersebut. Sekiranya pihak-pihak terlibat gagal mencapai penyelesaian melalui Pengantaraan, perkara tersebut akan dibawa ke Pengadilan di mana Pengadil SIDREC akan mengendalikan Pendengaran bagi pertikaian tersebut dan seterusnya memberikan keputusan.

Apakah itu Pengantaraan?

Pengantaraan ialah cara efektif untuk menyelesaikan pertikaian tanpa perlu ke mahkamah. Pengantaraan melibatkan pengantara yang merupakan pihak ketiga yang berkecuali. Peranan pengantara adalah untuk membantu pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencapai persetujuan dan penyelesaian yang boleh diterima dengan baik oleh kedua-dua belah pihak.

Mesyuarat pengantaraan adalah tidak formal dan menggunakan pendekatan yang berlandaskan loogik dan praktikal. Proses pengantaraan adalah sulit dan perbincangan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam proses penyelesaian pertikaian SIDREC.

Apakah Pengadilan?

Pengadilan ialah pendengaran bagi sesuatu pertikaian untuk membolehkan Pengadil membuat keputusan bagi pertikaian tersebut.

Pengadilan dalam SIDREC boleh dijalankan melalui proses penyelesaian pertikaian SIDREC untuk tuntutan seperti berikut:-

  1. Skim wajib (Bahagian A TOR) – Tuntutan tidak melebihi RM250,000.00; dan;
  2. Skim Sukarela (Bahagian B TOR) – Tuntutan melebihi RM250,000.00, tertakhluk kepada persetujuan kedua-dua pihak untuk menggunakan  khidmat pertikaian daripada SIDREC untuk pengadilan.

Secara umumnya, sesuatu pertikaian akan diteruskan ke Pengadilan apabila Pengantaraan tidak berjaya. Di dalam process Pengadilan, kedua–dua belah pihak akan diberikan peluang untuk:-

(i) Mengemukakan sebarang bukti (termasuk memanggil saksi) untuk menyokong kes mereka;
(ii) Mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak lain atau saksi mereka; dan
(iii) Berhujah untuk kes mereka sendiri.

Pengadil juga mungkin akan meminta penjelasan lanjut dan juga dokumen-dokumen daripada pihak-pihak terlibat atau saksi mereka. Selepas mengambil kira bukti yang dikemukakan, fakta-fakta berkaitan, perlakuan kedua-dua pihak, peraturan dan undang-undang berkaitan, amalan industri terbaik, dan kes terdahulu yang dikendalikan oleh SIDREC, Pengadil akan membuat keputusan berpandukan apa yang adil dan saksama dalam situasi tersebut.

Siapakah Pengadil?

Pengadil memberi keputusan dan membantu menentukan isu-isu pertikaian bagi penyelesaian pertikaian. Pengadil ialah profesional yang berpengalaman di dalam industri masing-masing dan pakar bagi perkara yang berkaitan dengan pertikaian tersebut. Semasa Pengadilan dijalankan, Pengadil bertanggungjawab untuk mengkaji bukti dan dokumen-dokumen dan juga menjalankan penilaian merit bagi kes untuk setiap pihak terlibat.

Apakah perbezaan diantara Pengantaraan dan Pengadilan?

Kedua-dua pengantaraan dan pengadilan ialah proses untuk menyelesaikan pertikaian.

Pengantaraan melibatkan proses rundingan yang tidak formal di antara pihak-pihak terlibat dengan bantuan pihak ketiga yang tidak memihak kepada mana–mana pihak sebagai pengantara.

Di samping itu, ketika pengadilan berlangsung, Pengadil akan mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak dan memberi keputusan berdasarkan bukti-bukti dan merit  untuk kes tersebut. Walaupun proses ini kurang formal berbanding dengan proses di mahkamah, tugas Pengadil boleh dikatakan seperti hakim.

Tidak seperti pengantara yang membantu kedua-dua belah pihak sehingga pertikaian tersebut mendapat penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak, Pengadil akan menilai kes tersebut and membuat keputusan beliau sendiri.

Adakah semua pihak terikat dengan keputusan pengadilan SIDREC?

Keputusan SIDREC hanya mengikat Ahli SIDREC. Sekiranya, sebagai pelabur anda tidak berpuas hati dengan keputusan SIDREC, anda bebas mencari jalan lain untuk menyelesaikan pertikaian anda.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda menerima keputusan SIDREC, anda perlu menandatangani satu perjanjian penyelesaian dengan Ahli SIDREC untuk memeterai keputusan tersebut dan keputusan tersebut akan mengikat kedua-dua belah pihak.

Bolehkah saya memanggil saksi pakar untuk menyokong kes saya?

Ya. Namun, anda perlu mendapatkan kebenaran dari SIDREC. Untuk mendapatkan kebenaran dari SIDREC, anda dikehendaki untuk memaklumkan kepada SIDREC nama saksi tersebut, kelayakannya, pengetahuan khas/kepakaran beliau dan sebab-sebab anda ingin memanggilnya sebagai saksi pakar.

Jika saya tidak fasih dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, apakah yang patut saya buat?

Anda boleh mendapatkan bantuan seseorang yang boleh bertindak sebagai penterjemah di mana penterjemah tersebut tidak semestinya seorang penterjemah bertauliah. Namun, anda harus mendapatkan kebenaran SIDREC terlebih dahulu. Untuk tujuan tersebut, anda dikehendaki memaklumkan kepada SIDREC, antara lain, nama penterjemah tersebut, nombor telefon, alamat emel, nombor kad pengenalan, tahap pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

Bolehkah saya ditemani oleh seorang kawan atau ahli keluarga semasa proses penyelesaian pertikaian SIDREC?

Pihak ketiga hanya boleh hadir di sesi pengantaraan atau pengadilan dengan kebenaran SIDREC. Secara amnya, SIDREC tidak membenarkan penglibatan pihak ketiga kerana proses penyelesaian pertikaian adalah sulit. Namun, SIDREC boleh menggunakan budi bicaranya untuk membuat pengecualian dengan membenarkan permintaan sedemikian, contohnya, jika pihak menuntut itu adalah daripada golongan warga tua yang memerlukan bantuan.

Beberapa salinan dokumen untuk menyokong tuntutan saya ada bersama Ahli SIDREC, apakah yang perlu saya buat?

Anda harus menulis kepada Ahli tersebut untuk meminta salinan dokumen-dokumen yang dikehendaki. Sebagai seorang pelanggan, anda berhak untuk mendapat salinan kenyataan akaun, borang permohonan akaun, resit dan sebagainya. Jika anda menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan dokumen seperti ini dari Ahli SIDREC, sila maklumkan kepada pengurus kes SIDREC.

Bolehkah kami menolak permintaan SIDREC apabila SIDREC meminta sebarang bahan, dokumen atau maklumat yang berkaitan aduan yang diajukan kepada SIDREC?

Sekiranya mana-mana pihak gagal atau enggan memberi bukti penting dalam kawalan beliau sebagaimana yang diminta oleh SIDREC (termasuklah data audio/visual atau digital, dokumen, maklumat atau saksi) tanpa alasan yang boleh diterima oleh SIDREC, Pengadil atau Jawatankuasa Rayuan SIDREC (SIAC) (jika berkenaan), boleh membuat ‘kesimpulan negatif’ terhadap pihak tersebut, yakni pihak tersebut cuba untuk menyembunyikan fakta yang tidak menyokong kes beliau.

Adakah kami perlu memberi bukti yang telah diberikan kepada SIDREC kepada pihak lain?

Mana-mana pihak yang inginkan Pengadil SIDREC menilai sebarang dokumen untuk tujuan menyokong kesnya sewaktu pengadilan harus memberi salinan dokumen tersebut kepada pihak yang bertentangan untuk membolehkan pihak tersebut memberi maklum balas. Jika salinan tidak diberi kepada pihak satu lagi, Pengadil tidak akan mengambil kira bukti tersebut dalam penilaian beliau. Prinsip utama yang dipegang oleh SIDREC ialah apa yang adil dan berpatutan dalam situasi kes tersebut.

Bolehkah mana-mana pihak membuat tawaran untuk menyelesaikan pertikaian semasa proses penyelesaian pertikaian SIDREC sedang berlangsung?

Ya. Selagi Pengadil SIDREC tidak memberi sebarang keputusan, kedua-dua pihak digalakkan untuk menyelesaikan pertikaian mereka secara baik.

Bolehkah saya menarik balik tuntutan/aduan saya selepas memfailkan tuntutan saya dengan SIDREC?

Pihak menuntut boleh menarik balik aduan beliau bila-bila masa sebelum Pengadil memberikan keputusan ke atas tuntutan tersebut.

Apa akan berlaku sekiranya Ahli enggan mematuhi keputusan SIDREC?

Tindakan Ahli untuk tidak mematuhi keputusan SIDREC merupakan suatu pelanggaran peraturan-peraturan SIDREC dan Peraturan-Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penyelesaian Pertikaian) 2010, serta syarat pelesenan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) seperti yang dinyatakan dalam Buku Panduan Perlesenan SC. SIDREC akan memaklumkan kepada SC mengenai ketidakpatuhan Ahli berkenaan untuk tindakan SC selanjutnya. SIDREC akan mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan oleh SC mengenai perkara tersebut.

Berkenaan SIDREC

Bagaimanakah SIDREC memperolehi mandatnya?

SIDREC diberi mandat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di bawah Peraturan-Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penyelesaian Pertikaian) 2010, sebagai badan penyelesaian pertikaian untuk mengendalikan pertikaian yang melibatkan tuntutan kewangan yang dibuat oleh pelabur individu atau pemilik tunggal terhadap pengantara pasaran modal yang merupakan ahli SIDREC.

Siapa yang mengendalikan SIDREC?

SIDREC mempunyai Lembaga Pengarah bebas yang terdiri daripada pengarah dari pihak industri dan bukan industri. Semua pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDREC hanya boleh dilantik dengan kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Syarat ini beserta dengan proses semakan dan imbangan yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penyelesaian Pertikaian) 2010 dan Peraturan SIDREC memastikan kebebasan dan kesaksamaan SIDREC.

Mengapa saya perlu datang ke SIDREC?

SIDREC ditubuhkan oleh SC untuk menyediakan satu platform bebas dan saksama kepada para pelabur dengan kepakaran pasaran modal untuk menyelesaikan pertikaian kewangan dengan Ahli SIDREC dalam masa yang singkat dan dengan kos yang efektif. Kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pihak-pihak tersebut mendapat sokongan yang secukupnya sepanjang proses dijalankan.

Keutamaan utama kami adalah untuk cuba menjadi perantara dimana kami akan membantu kedua belah pihak terlibat untuk berkomunikasi dan memahami situasi masing-masing dan mencari penyelesaian yang sebaiknya.

Jika ini tidak dapat dicapai, perkara tersebut akan dibawa ke process pengadilan tertakhluk kepada kebolehan SIDREC untuk menolak kes tersebut di mana-mana peringkat dibawah Peraturan 15.2 daripada Terma Rujukan SIDREC. Selepas SIDREC membuat keputusan dan jika pelabur menerima keputusan tersebut, Ahli SIDREC diwajibkan untuk mematuhi keputusan yang telah dibuat.

Pengantara, Pengadil serta pengurus kes kami adalah pakar dalam pasaran modal, dan mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan pengalaman untuk membantu kedua-dua pihak. Oleh itu, keseluruhan process menjadi lebih mudah kerana mereka boleh membantu kedua–dua belah pihak mengikut cara yang sewajarnya.

Rayuan (Hanya diguna pakai untuk tuntutan sehingga RM250,000.00)

Sekiranya saya tidak berpuas hati dengan Keputusan Pengadil SIDREC, bolehkah saya membuat rayuan?

Pihak yang terlibat dalam pertikaian hanya boleh membuat rayuan jika Keputusan Panimbangtara dikeluarkan di bawah Skim Wajib.

Selanjutnya, rayuan kepada SIDREC terhadap Keputusan Pengadil boleh dibuat atas alasan berikut:

(i) terdapat kesilapan serius dalam undang-undang atau fakta Keputusan tersebut; atau
(ii) terhasilnya bukti baharu (yang tidak dapat diperolehi dengan usaha munasabah atau secara bersungguh-sungguh ketika proses pengadilan), yang mungkin memberi kesan yang ketara kepada Keputusan tersebut.

Apakah tempoh masa untuk memfailkan rayuan?

1. Untuk memfailkan rayuan oleh Penuntut:

(i) Penuntut mesti memfailkan Notis Rayuan yang ditetapkan dan mengenal pasti alasan rayuan, berserta dengan bayaran rayuan, kepada SIDREC dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh notis penolakan Keputusan atau yang dianggap penolakan Keputusan SIDREC.

(ii) Sila maklum bahawa sekiranya Penuntut tidak memaklumkan kepada SIDREC sama ada beliau ingin menerima atau menolak Keputusan Pengadil dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh Keputusan, beliau dianggap telah menolak Keputusan tersebut.

(iii) Selanjutnya, anda juga dikehendaki mengemukakan kepada SIDREC, butiran alasan rayuan anda beserta dengan semua maklumat berkaitan dan dokumen yang diperlukan yang menyokong rayuan anda dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh pengemukaan Notis Rayuan.

2. Untuk memfailkan rayuan oleh Ahli:

(i) Ahli SIDREC berkenaan mesti memfailkan Notis Rayuan yang ditetapkan dengan mengenal pasti alasan rayuan berserta bayaran rayuan dan Deposit Sekuriti kepada SIDREC, dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh notis penerimaan Keputusan oleh Penuntut.

(ii) Selanjutnya, Ahli tersebut juga dikehendaki mengemukakan butiran alasan rayuan berserta maklumat berkaitan dan dokumen yang diperlukan bagi menyokong rayuannya dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh penghantaran Notis Rayuan ke SIDREC

Bagaimana saya boleh merayu terhadap Keputusan Pengadil?

Pihak Perayu mesti mematuhi proses rayuan yang ditetapkan dalam Peraturan 23 Terma Rujukan SIDREC. Notis Rayuan yang mengenal pasti alasan rayuan hendaklah dikemukakan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan:

1. Bagi pemfailan rayuan oleh Penuntut:

(i) Sekiranya pihak perayu adalah Penuntut, anda dikehendaki mengemukakan dokumen berikut kepada SIDREC dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh notis penolakan Keputusan kepada SIDREC atau dianggap penolakan Keputusan tersebut:

(a) Notis Rayuan yang diisi lengkap dengan menyatakan alasan/asas rayuan; dan

(b) Bank draf berjumlah RM500.00 yang dibayar di atas nama “Securities Industry Dispute Resolution Center” sebagai bayaran rayuan yang tidak akan dikembalikan.

 

(ii) Seterusnya, anda dikehendaki mengemukakan kepada SIDREC, butiran alasan rayuan berserta maklumat berkaitan dan dokumen yang diperlukan bagi menyokong rayuan anda dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh pengemukaan Notis Rayuan.

2. Bagi pemfailan rayuan oleh Ahli:

(i) Sekiranya pihak perayu adalah Ahli, anda dikehendaki mengemukakan dokumen berikut kepada SIDREC dalam tempoh lima (5) hari bekerja dari tarikh notis penerimaan Keputusan oleh Pembuat Tuntutan:

(a) Notis Rayuan yang lengkap diisi dengan menyatakan alasan/asas rayuan;

(b) Bayaran rayuan yang tidak akan dikembalikan seperti yang tertera di bawah Lampiran Terma Rujukan SIDREC; dan

(c) Sejumlah deposit sekuriti yang bersamaan dengan 50% daripada amaun dalam Keputusan Pengadil dalam bentuk jaminan bank yang menamakan SIDREC sebagai benefisiari atau draf bank di atas nama “Securities Industry Dispute Resolution Center”, jika berkenaan.

 

(ii) Seterusnya, Ahli tersebut dikehendaki mengemukakan kepada SIDREC, butiran alasan/asas rayuan bersama dengan maklumat dan dokumen yang menyokong rayuan itu dalam tempoh sepuluh (10) hari bekerja dari tarikh pengemukaan Notis Rayuan.

Pihak perayu dikehendaki memberi satu salinan dokumen kepada Pihak Responden pada hari yang sama beliau kemukakan dokumen tersebut kepada SIDREC.

Anda juga dinasihatkan untuk memfailkan Notis Rayuan secepat mungkin dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jangan tunggu hingga ke saat-saat akhir.

Sila hubungi SIDREC sekiranya anda tidak pasti sama ada alasan/asas yang anda ingin gunakan termasuk dalam alasan rayuan terhad yang ditetapkan dan yang dibenarkan oleh SIDREC.

Saya sedar tentang suatu bukti tetapi tidak mengemukakannya ketika proses pengantaraan/pengadilan kerana pada masa itu, saya tidak pasti sama ada bukti tersebut akan membantu dalam kes saya atau tidak. Bolehkah saya gunakan bukti tersebut sekarang sebagai asas untuk memfailkan rayuan?

Tidak, sekiranya anda telah mempunyai bukti tetapi tidak menggunakannya, anda tidak dibenarkan untuk menggunakan bukti tersebut untuk tujuan rayuan kerana pengemukaan bukti sedemikian tidak memenuhi syarat untuk rayuan. Sekiranya anda ingin menggunakan alasan “penghasilan bukti baharu”, anda mesti memenuhi dua kriteria berikut:

(i) Bukti baharu tersebut mempunyai kesan yang ketara terhadap Keputusan tersebut; dan
(ii) Anda tidak berupaya memperolehi bukti tersebut ketika proses pengantaraan/pengadilan walaupun usaha yang munasabah atau bersungguh-sungguh telah dilakukan.

Oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar meneliti semua bukti yang akan menyokong kes mereka dan mengemukakannya kepada SIDREC secepat mungkin. Suatu pihak tidak dibenarkan untuk memfailkan rayuan atas alasan ini hanya kerana beliau gagal membuat persediaan wajar dalam kesnya ketika proses Pengadilan.

Saya ingin merayu terhadap Keputusan Pengadilan. Adakah saya perlu membayar apa-apa bayaran kepada SIDREC?

Sebagai Penuntut, anda perlu membayar RM500.00 sebagai yuran rayuan. Tidak kira apa keputusan rayuan, yuran rayuan tersebut tidak akan dikembalikan. Sekiranya rayuan tersebut dimulakan oleh Ahli, anda tidak dikehendaki membayar bayuran rayuan. Hanya pihak perayu yang perlu membayar yuran rayuan.

Bilakah saya harus membayar yuran rayuan?

Bayaran tersebut mestilah dibayar kepada SIDREC berserta Notis Rayuan. Jika tidak, SIDREC tidak akan memproses Notis Rayuan.

Selain daripada yuran rayuan, adakah bayaran lain yang perlu saya bayar kepada SIDREC?

Tiada yuran lain yang perlu dibayar. Walau bagaimanapun, anda perlu menanggung sebarang perbelanjaan profesional and peribadi lain yang mungkin terlibat, sebagai contoh, kos perjalanan, kos guaman (sekiranya anda memilih untuk mendapatkan nasihat peguam) atau kos penterjemah (sekiranya diperlukan).

Apakah faktor-faktor yang boleh menyebabkan suatu Rayuan dianggap sebagai Rayuan Tidak Layak?

Berikut adalah berapa contoh:

(i) Alasan/asas bagi rayuan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Peraturan 22 Terma Rujukan SIDREC.
(ii) Notis Rayuan yang tidak lengkap. Notis Rayuan mestilah lengkap dengan semua butiran yang diperlukan dan dokumen sokongan (jika diperlukan). Notis tersebut perlu menyatakan secara khusus alasan/asas yang ingin digunakan oleh pihak perayu beserta dengan butiran yang mencukupi.
(iii) Notis Rayuan, dokumen sokongan dan bayaran yang berkaitan tidak difailkan dengan SIDREC dalam tempoh masa yang ditetapkan.
(iv) Sekiranya rayuan tersebut difailkan oleh Ahli dan Ahli tersebut gagal untuk mengemukakan deposit sekuriti yang diperlukan bagi jumlah yang bersamaan dengan 50% daripada amaun dalam Keputusan.
(v) Sekiranya terma-terma dalam jaminan bank yang dikemukakan oleh Ahli sebagai deposit sekuriti tidak diterima oleh SIDREC.

Bolehkah saya diwakili oleh peguam di peringkat rayuan?

  • Kedua-dua pihak tidak dibenarkan untuk membawa peguam mereka atau diwakili oleh peguam dalam proses penyelesaian pertikaian SIDREC.
  • Ramai Penuntut di bawah kategori ini tidak mampu untuk melantik peguam dan SIDREC memberi khidmat pakar percuma kepada pelabur dengan untuk membantu mereka menyelesaikan pertikaian mereka.
  • Walau bagaimanapun, SIDREC tidak akan menyediakan khidmat nasihat perundangan dan faham bahawa anda mungkin memerlukan khidmat guaman.  Pihak yang terbabit boleh mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk membantu mereka bersiap sedia atau memberi sokongan mereka. Peguam hanya tidak boleh mengambil bahagian dalam proses penyelesaian pertikaian.

Siapa yang mendengar Rayuan?

Semua rayuan akan didengar dan diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan SIDREC (SIAC).

Siapa yang melantik ahli Jawatankuasa Rayuan SIDREC (SIAC) dan siapakah Ahli-ahlinya?

SIAC terdiri daripada lima (5) ahli yang dilantik oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) iaitu:

(i) dua orang ahli bebas, salah seorang daripada mereka akan menjadi Pengerusi SIAC;
(ii) seorang wakil kanan dari Suruhanjaya Sekuriti;
(iii) seorang ahli Lembaga Pengarah SIDREC; dan
(iv) seorang individu dengan pengetahuan dan pengalaman industri.

Apakah proses Rayuan?

Apabila SIDREC menerima Notis Rayuan, semakan akan dibuat untuk menentukan kelayakan rayuan tersebut.

SIDREC kemudian akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa Rayuan SIDREC (SIAC) mengenai kelayakan rayuan tersebut. Sekiranya SIAC bersetuju dengan cadangan SIDREC, SIDREC akan memaklumkan pihak-pihak yang terbabit mengenai keputusannya.

Rayuan yang Layak akan diajukan ke peringkat seterusnya. Bergantung kepada fakta atau situasi kes, Pengerusi SIAC boleh menggunakan budi bicaranya untuk memutuskan kaedah pertimbangan, sama ada secara perbicaraan fizikal atau penghujahan bertulis oleh pihak-pihak yang terlibat.

Sekiranya pertimbangan adalah melalui perbicaraan fizikal, SIDREC akan menetapkan tarikh Perbicaraan dan memaklumkannya kepada semua pihak yang terlibat.

Sekiranya pertimbangan adalah melalui pengemukaan bertulis, prosesnya adalah seperti berikut:

(i) dalam tempoh 10 hari bekerja selepas rayuan tersebut menjadi Rayuan yang Layak, Pihak Responden perlu memfailkan jawapan bertulis kepada Notis Rayuan tersebut. Jawapan bertulis itu mestilah dikemukakan pada hari yang sama kepada kedua-dua Pihak Perayu dan SIDREC.
(ii) Pihak Perayu mempunyai 10 hari bekerja untuk memfailkan respons bertulis kepada jawapan bertulis yang difailkan oleh Pihak Responden. Jawapan bertulis tersebut mestilah dikemukakan kepada Pihak Responden dan SIDREC pada hari yang sama.

SIAC akan mempertimbangkan semua rayuan berdasarkan rekod-rekod proses Pengadilan.

Berapa lama saya perlu menunggu keputusan Rayuan?

SIAC akan membuat keputusan ke atas suatu rayuan dalam tempoh enam puluh (60) hari bekerja dari tarikh rayuan tersebut difailkan. Walau bagaimanapun, SIAC boleh menggunakan budi bicaranya untuk melanjutkan tempoh masa tersebut.

Adakah keputusan SIAC mengikat Penuntut dan Ahli?

Keputusan SIAC adalah muktamad dan mengikat semua pihak tanpa mengira sama ada pihak tersebut telah melaksanakan Perjanjian Penyelesaian atau sama ada pihak tersebut mengambil bahagian dalam proses rayuan.

Walau bagaimanapun, sekiranya rayuan tersebut difailkan oleh Ahli, Penuntut mempunyai pilihan untuk menolak keputusan SIAC. Sekiranya Penuntut memilih untuk menolak keputusan SIAC, Ahli tersebut tidak perlu mematuhi keputusan SIAC. Dalam keadaan sedemikian, Penuntut adalah bebas untuk membuat tuntutan melalui saluran lain.

Apa yang akan berlaku sekiranya Ahli enggan mematuhi keputusan SIAC?

Sekiranya Ahli tidak mematuhi keputusan SIAC, hal ini dianggap sebagai pelanggaran peraturan SIDREC dan Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penyelesaian Pertikaian) 2010, dan juga syarat-syarat perlesenan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) seperti yang ditetapkan dalam Panduan Pelesenan SC. SIDREC akan memaklumkan kepada SC mengenai ketidakpatuhan oleh Ahli berkenaan untuk tindakan lanjut oleh SC. SIDREC akan akur kepada apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh SC mengenai perkara tersebut.

Ada soalan lebih? Perlukan bantuan? Tanya kami!