• English
  • Bahasa Malaysia

Articles

Kliaw

Ketua Pegawai Eksekutif: Pendekatan bercirikan pengantaraan suatu nilai penting dalam penyelesaian pertikaian

Ketua Pegawai Eksekutif, Sujatha Sekhar Naik, membincangkan pengalaman SIDREC berkenaan dengan kepentingan pendekatan bercirikan pengantaraan (mediative approach) dalam penyelesaian pertikaian, di sesi panel Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang dianjurkan oleh Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur .

Tema acara tersebut ialah Pentakrifan Semula ADR: Dalam dan Luar Asia. Moderator bagi sesi yang bertajuk “Pengantaraan Merentasi Sempadan: Peluang, Cabaran dan Kisah Kejayaan” ialah Shanti Abraham dari Tetuan Shanti Abraham & Associates. Shanti, seorang pengantara dan adjudikator yang berpengalaman (dan juga ahli panel pengantara dan adjudikator SIDREC), telah mengutarakan perlunya menyerapkan ciri-ciri pengantaraan dalam bahasa komunikasi badan korporat dan peguam-peguam am mereka. Beliau juga menekankan peranan peguam dalam menggalakkan penggunaan pengantaraan oleh anak-anak guam mereka. Ahli panel UK, Paul Rose dari ArbDB Chambers, membentangkan usul kesan budaya terhadap sesi pengantaraan, dan peranan bernilai yang boleh dimainkan oleh pengantara bersama (co-mediators) dalam pengantaraan merentasi sempadan. Ketiga-tiga ahli panel bersetuju bahawa persediaan sebelum sesi pengantaraan adalah komponen penting dalam sesi pengantaraan yang berjaya.

Sujatha mengetengahkan perlunya untuk menjalin hubungan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan di luar negeri untuk memudahkan penyelesaian pertikaian antarabangsa. Beliau memerhatikan bahawa pendekatan bercirikan pengantaraan di SIDREC dalam semua perhubungannya telah menyumbang kepada penyelesaian pelbagai kes SIDREC, tanpa perlunya untuk melanjutkan kes-kes tersebut ke peringkat adjudikasi. Kebebasan dan kesaksamaan saluran penyelesaian pertikaian alternative (ADR), kepakaran dalam pasaran modal, usaha persediaan semasa pengurusan kes, ditambah pula dengan pendekatan pengantaraan yang diterima pakai di SIDREC, kesemuanya adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan ADR di SIDREC.

Acara di KLRCA selama tiga hari dari 15 hingga 17 Mei 2017 tersebut telah menarik lebih kurang 70 orang pakar dari serata dunia sebagai penceramah atau ahli panel.